Perkembangan Pesat Teknologi Maklumat Khususnya Komputer Telah Menimbulkan Pelbagai Masalah Kepada Masyarakat. Bincangkan Bentuk-Bentuk Masalah Ini Dengan Penekanan Kepada Bidang Pendidikan Dan Langkah-Langkah Mengatasinya

1.0 Pengenalan

Kebaikan dan sumbangan positif komputer kepada masyarakat memang tidak dapat dinafikan lagi. Mereka yang pernah menggunakan komputer tentu termaklum benar akan perkara ini. Walaubagaimanapun seperti juga inovasi-inovasi lain, penggunaan komputer juga mewujudkan masalah dan beberapa kesan negatif kepada masyarakat. Ringkasnya keseluruhan fenomena tersebut digambarkan oleh gambarajah di bawah:

 

 

 

 

2.0 Penggunaan Komputer Di Dalam Bidang Pendidikan

Penggunaan komputer dalam bidang pendidikan bukanlah sesuatu yang baru dalam sejarah perkembangan komputer. Pelbagai ciptaan mikrokomputer telah banyak mengubah kaedah pengajaran dan pemelajaran serta pentadbiran pendidikan.

Komputer kini merupakan mesin yang tahan lasak lagi murah. Ianya lebih mudah diperolehi dan digunakan buat masa kini. Di samping itu, komputer kini lebih laju dan mempunyai keupayaan grafik dan bunyi yang menarik. Ciri-ciri ini menyebabkan komputer dapat digunakan secara meluas dan kini telah merebak ke hampir semua bidang termasuk bidang pendidikan.

Secara amnya, penggunaan komputer dalam pendidikan boleh dibahagikan kepada tiga bahagian utama iaitu sebagai:



 

 

 

 

  1. Alat Pentadbiran
  2. Pada amnya, penggunaan komputer dalam pendidikan bermula sebagai satu alat pentadbiran. Komputer digunakan untuk memudahkan kerja-kerja pengkeranian, pengurusan perakaunan dan gaji, kawalan inventori, katalog perpustakaan, rekod kakitangan dan pelajar, penyimpanan, penganalisaan dan penjanaan laporan rekod-rekod peperiksaan dan lain-lain.

  3. Alat Penyelidikan
  4. Projek-projek penyelidikan biasanya melibatkan pengumpulan banyak data statistik yang perlu dianalisis. Dalam konteks ini komputer telah banyak membantu dan memudahkan para penyelidik dalam menjalankan kerja penganalisaan. Seseorang penyelidik yang mahir dalam penggunaan pakej statistik ini boleh menggunakan komputer untuk menganalisis data-data yang dikumpul dengan mudah.

  5. Media Atau Sumber Pengajaran dan Pemelajaran

Terdapat empat bentuk media penting yang selalu digunakan sebagai sumber pengajaran dan pemelajaran

Salah satu penggunaan komputer dalam pendidikan ialah sebagai alat pengajaran tentang kearifan komputer (computer literacy) seperti pengaturcaraan, pemprosesan data, sains maklumat, sejarah perkembangan

komputer, implikasi sosial dan lain-lain.

 

 

Satu lagi penggunaan komputer yang penting ialah "Pengajaran Berbantukan Komputer" (PBK). Semasa PBK, komputer berperanan sebagai Tutor Elektronik.

Penggunaan komputer yang berkaitan dengan PBK ialah komputer yang digunakan sebagai pengurus pengajaran dan pemelajaran yang dikenali dengan "Pengajaran Diuruskan Komputer "(PDK) atau "Computer Managed Learning" (CML).Setiap sistem PBK yang baik dan sempurna harus menggabungkan fungsi ini ke dalam sistem ini. Kadangkala PDK dianggap sebagai sebahagian daripada PBK.

PDK berfungsi sebagai pengurus pengajaran dan pemelajaran yang membantu guru memainkan peranannya. Dalam hal ini komputer mengawal pemelajaran dan kemajuan murid dengan mentadbirkan pelajaran dan ujian, menyimpan rekod pencapaian murid dan menjanakan laporan tentang prestasi mereka untuk rujukan guru serta murid.

Dengan adanya perisian aplikasi yang sesuai sebagai satu alat untuk membantu murid dan guru menyelesaikan masalah dan faham isi pelajaran. Contohnya seperti "Computer Integrated Instruction" (CII) yang mengintegrasikan komputer ke dalam kurikulum bagi memudahkan proses pemelajaran isi kandungan, perkembangan kemahiran pemikiran berasas tinggi dan penyelesaian masalah.

Ciri Utama CII ialah penggunaan perisian-perisian aplikasi seperti pemprosesan perkataan, pangkalan data, hamparan kerja, pemproses muzik, grafik dan lain-lain.

3.0 Masalah-Masalah Yang Timbul/Wujud Dari Penggunaan Komputer Di Dalam Pendidikan

Sebagaimana yang telah dihuraikan tadi, aplikasi komputer dalam bidang pendidikan boleh dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu pentadbiran pendidikan, penyelidikan pendidikan dan pengajaran dan pemelajaran. Disebabkan masalah-masalah yang timbul di dalam ketiga-tiga bahagian ini hampir sama, kita akan membincangkan masalah-masalah aplikasi komputer dalam pendidikan ini secara bersepadu.

3.1 Latihan Ulangan

Terdapat banyak perisian aplikasi pengautomasian pejabat di pasaran. Terdapat juga berbagai-bagai jenis perisian untuk penyelidikan mahupun untuk pendidikan. Setiap orang perseorangan yang ditugaskan mengendalikan perisian-perisian ini samada guru, kerani, pegawai penyelidik atau lain-lain, perlu menjalani latihan menggunakan perisian tersebut di samping mempelajari cara penggunaan komputer itu sendiri. Masalah akan timbul sekiranya orang perseorangan atau pekerja terbabit berhenti atau ditukarkan ke bahagian lain. Latihan perlu dilakukan semula kepada pengguna pengganti.

3.2 Kos Yang Tinggi

Kos mendapatkan peralatan dan perisian komputer masih lagi tinggi walaupun dijangkakan akan menurun. Kita bimbang dengan perkembangan pesat teknologi maklumat, syarikat-syarikat atau orang perseorangan sentiasa mengeluarkan peralatan dan perisian baru yang berharga tinggi.

Kerja-kerja penyelidikan selalunya memakan masa yang panjang. Oleh itu kos yang tinggi diperlukan dari segi penyenggaraan sistem, tenaga pekerja, peralatan-peralatan bantuan dan terutamanya sekali perkakasan yang diperlukan.

Disebabkan bidang teknologi maklumat dalam pendidikan masih baru dan tinggi permintaannya, maka institusi-institusi pengajian bertindak menaikkan yuran untuk mengikuti kursus-kursus tersebut. Pelajar-pelajar pelu memiliki komputer sendiri untuk mengelakkan persaingan di makmal-makmal komputer institusi pengajian.

3.3 Laporan/Maklumat Tidak Tepat

Staf yang ditugaskan mengendalikan perisian atau memasukkan data boleh mengakibatkan laporan yang diproses atau dianalisis oleh perisian tidak tepat. Ianya boleh berlaku umpamanya seperti kerja kemasukan data yang banyak dan berterusan.

Kesilapan juga boleh berlaku terhadap hasil penyelidikan sekiranya berlaku kecuaian semasa memasukkan data atau kesilapan dalam pembangunan sistem penyelidikan itu sendiri kerana kompleksnya sesuatu sistem penyelidikan tersebut.

Kemunculan virus-virus komputer boleh juga mengakibatkan kesilapan dalam analisis data.

3.4 Pergantungan Tinggi Kepada Komputer

Staf yang biasa atau selalu menggunakan komputer untuk membantu kerja-kerjanya mungkin boleh menyebabkan kerja-kerja tertangguh sekiranya terjadi sesuatu yang di luar jangkaan seperti kerosakan kepada komputer atau tenaga elektrik.

Pemelajaran di dalam kelas juga boleh terganggu sekiranya guru hanya bergantung kepada komputer untuk melaksanakan pengajaran.

3.5 Jenayah Kolar Putih

Terhadnya staf yang diberi kebenaran menggunakan komputer atau yang mahir menggunakan kompuer boleh menggalakkan jenayah kolar putih dengan mengelirukan angka-angka pada data komputer kerana ianya sukar dikesan.

3.6 Kurang Kepakaran

Kerja-kerja penyelidikan berbantukan komputer memerlukan tenaga kerja yang bukan sahaja pakar dalam bidang penyelidikan tersebut tetapi juga mahir dalam bidang komputer terutamanya sewaktu proses pembangunan sistem penyelidikan.Guru-guru yang pakar mengendalikan komputer juga diperlukan untuk melaksanakan pengajaran berbantukan komputer atau literasi komputer.

3.7 Sosialisasi

Kerja-kerja penyelidikan berkomputer juga boleh menyebabkan staf penyelidikan terlalu taksub terhadap komputer atau tugasnya hingga boleh melalaikan dari bersosial dengan masyarakat luar. Ia juga boleh melenyapkan empati terhadap orang lain kerana terlalu serius dalam tugas.

Penggunaan komputer sebagai alat pengajaran juga boleh mengakibatkan interaksi antara guru dan murid berkurang sekiranya guru tidak peka kepada tanggungjawab guru sebenarnya bukan hanya sekadar mengajar tetapi juga mendidik dan membimbing.

3.8 "Computer Phobia"

Disebalik perkembangan pesat dalam pengkomputeran, wujud juga segolongan manusia yang tidak berupaya atau berpeluang mengikuti perkembangan pesat teknologi maklumat. Mereka ini boleh bersikap takutkan komputer atau tidak mahu menggunakan komputer kerana kurang keyakinan mereka terhadap komputer. Di hati mereka boleh juga wujud rasa rendah diri apabila berada di kalangan individu yang celik komputer.

3.9 Internet

Internet tidak dimiliki oleh sesiapa. Setiap pengguna Internet bebas memasukkan apa-apa maklumat yang ingin mereka sampaikan kepada pengguna lain. Oleh itu adalah sukar bagi pihak pendidikan untuk menapis kandungan-kandungan yang baik dan elok sahaja untuk pelajar-pelajar.

4.0 Cara Mengatasi Masalah-Masalah Yang Wujud Kesan Dari Penggunaan Komputer

Berikut merupakan cadangan-cadangan yang difikirkan sesuai untuk mengatasi masalah-masalah yang wujud dari kesan penggunaan komputer. Kami mengklasifikasikan kepada tiga bahagian iaitu dari segi pentadbiran, penyelidikan dan pengajaran dan pemelajaran.

Dari segi pentadbiran, adalah perlu pihak pengurus atau pentadbir mengambil kira dari segi pembangunan sumber manusia. Adalah dicadangkan supaya pihak pentadbir :

Ini adalah untuk menyediakan kakitangan mereka menghadapi perkembangan teknologi maklumat yang terkini. Sekiranya semua kakitangan telah diperlengkapkan dengan kemahiran-kemahiran yang sepatutnya, sudah tentu masalah kehilangan tenaga pakar tidak berlaku andainya terjadi pertukaran kakitangan pada organisasi tersebut.

Pihak pentadbir juga perlu menjaga kebajikan pekerja untuk mengelakkan berlakunya perpindahan pekerja ke organisasi lain. Malah masalah seperti kemasukan data yang salah (Garbage In Garbage Out - GIGO) dapat dihapuskan sekiranya pentadbir memberi peluang dan masa yang secukupnya untuk kakitangan mereka menjalankan tugas. Selalunya kesilapan berlaku kerana kecuaian pekerja yang melakukan kerja secara tergopoh-gapah. Mungkin kerana mahu cepat siap, faktor kuantiti sahaja yang diambil kira, dan ini menyebabkan mereka mengabaikan faktor kualiti. Kebajikan pekerja perlu diambil berat. Adalah dicadangkan juga setiap data atau maklumat yang dimasukkan disemak oleh "Quality Control". Ini dapat menghasilkan data yang lebih tepat dan jitu.

Jenayah kolar putih sering berlaku kerana kakitangan tidak mempunyai sikap jujur,amanah dan bersih. Penerapan nilai-nilai murni adalah wajar disarankan untuk diserapkan ke dalam jiwa dan sanubari kakitangan. Di samping itu, pihak pentadbir bertanggungjawab untuk mengambil inisiatif segera dalam memahami dan mengatasi masalah yang dihadapi kakitangan mereka. Penyelewengan mungkin berlaku kerana tekanan emosi atau kesempitan wang. Oleh itu, kemungkinan kepincangan pada pihak pentadbiran mungkin boleh mengakibatkan berlakunya gejala negatif seperti ini. Sekiranya kebajikan pekerja dijaga, insyaallah perkara ini dapat dihapuskan.

Kita sering dipaparkan dengan cerita-cerita di pawagam dan televisyen yang mengisahkan "hacker" yang sering dianggap hero atau heroin di dalam cerita. Namun begitu, kita harus sedar bahawa "hacker" itu adalah penjenayah dan pihak berkuasa sememangnya berusaha untuk menghentikan jenayah moden ini. Di United State, penjenayah "hacker" digunakan untuk mengesan "hacker" yang lain. Neal Patrick, remaja berumur 17 tahun yang merupakan salah seorang ahli kumpulan 414 telah dijemput ke U.S House of Representatives untuk memaklumkan tentang "backup" dan keselamatan komputer. Malah seorang lagi "hacker" seperti Robert Grumbles yang telah didakwa atas tuduhan menceroboh ke komputer NASA telah diberi perjalanan percuma ke London oleh London Daily Star untuk menunjukkan kepada rakyat Britain bagaimana ianya telah dilakukan.

Dari segi penyelidikan pula, beberapa perkara seperti berikut boleh diambil kira untuk mengatasi masalah.

Institusi Pengajian Tinggi serta institusi swasta juga memainkan peranan yang penting terhadap kekurangan tenaga mahir tempatan dalam bidang teknologi maklumat. Dengan adanya graduan yang berkualiti dan berkuantiti ini, maka masalah tenaga pakar dapat dimansuhkan. Graduan-graduan inilah yang akan menerajui teknologi komputer dimasa hadapan.

Sememangnya akta hakcipta dari segi undang-undang telah ada. Namun begitu tindakan yang serius tidak dijalankan yang menyebabkan berlakunya kesalahan menggunakan perisian tanpa lesen yang sah. Keadaan ini memaksa pengeluar mencipta virus, yang walaupun pada asalnya bertujuan untuk memelihara perisian mereka, telah sedikit sebanyak menyusahkan pengguna yang lain. Sekiranya undang-undang diperketatkan, sudah tentu tidak wujud lagi situasi penggunaan "pirate copy". Disamping itu juga, sekiranya kos perolehan perisian dapat diturunkan akan menggalakkan pengguna mendapatkan perisian yang asli dan tidak "pirate copy".

Pengeluaran peralatan teknologi dari tempatan juga adalah digalakkan. Dengan penghasilan produk ini secara tempatan, sudah tentu kos pembuatan dapat dikurangkan dan seterusnya kos peralatan juga dapat diturunkan sebanyak mungkin.

Perolehan peralatan juga perlu dibuat dengan bijak. Beli peralatan yang perlu sahaja dan elakkan dari pembaziran wang dengan membuat perolehan yang tidak penting. Cara ini dapat mengurangkan kos perolehan peralatan teknologi maklumat.

 

 

Seringkali penggunaan teknologi maklumat dikaitkan dengan pengurangan nilai-nilai sosial dikalangan masyarakat. Pihak bertanggungjawab perlu sedar tentang ini dan hendaklah beri masa yang sesuai untuk membolehkan kakitangan mereka bergaul dengan masyarakat. Malah pada pendapat kami dengan adanya kemudahan teknologi maklumat, sekiranya digunakan dengan bijak boleh merapatkan hubungan samada pada lokasi yang dekat mahupun di hujung dunia, kerana teknologi komputer telah melahirkan "global village". Manusia menjadi semakin dekat tanpa mengira faktor geografi dan jarak.

Dari segi pengajaran dan pemelajaran pula, perkara-perkara yang disarankan ialah :

Untuk mengatasi masalah kurang kelengkapan dan peralatan komputer di sekolah-sekolah dan institusi pengajian, pihak kerajaan perlu campurtangan dengan memberikan peruntukan yang secukupnya untuk membolehkan organisasi terbabit melengkapkan institusi pengajian dengan kemudahan dan kelengkapan yang mencukupi untuk semua pelajar.

Kejadian-kejadian seperti di San Diego di mana tiga orang pelajar telah digantung pengajian mereka kerana cuba memecah masuk ke sistem komputer sekolah untuk menukar gred dan tugasan mereka; di UCLA di mana Ronald Austin seorang pelajar universiti tersebut telh didakwa kerana cubaan memecah masuk ke 200 akaun yang dimiliki oleh Advanced Research Projects Agency Network (Arpanet) akan dapat dihapuskan sekiranya langkah berjaga-jaga diambilberat. Malah keselamatan komputer perlu diambil berat untuk mengelakkan gejala negatif seperti ini berlaku lagi.

Kurangnya interaksi antara guru dan pelajar juga sering dikaitkan dengan adanya teknologi komputer. Dalam hal ini, sebagai guru kita hendaklah bertindak dengan bijak. Sifat terlalu bergantung kepada perisian perlu dilenyapkan. Guru-guru perlu bertindak sebagai pembimbing dan penunjukcara yang aktif. Dengan ini dapat merapatkan lagi hubungan guru dengan murid dan dapat memperbanyakkan interaksi dengan pelajar. Mahu seribu daya, tidak mahu seribu dalih, pepatah lama perlu dipegang.

Didikan awal dan penerapan nilai-nilai murni adalah penting untuk melahirkan generasi bermaklumat yang bermoral. Sekiranya didikan nilai-nilai murni telah ditanam di jiwa pelajar-pelajar, tidak akan berlaku kesalahan atau jenayah komputer yang membimbangkan generasi akan datang.

Masyarakat perlu dibudayakan dengan pendedahan kepada teknologi komputer. Inisiatif ini perlu diambil oleh setiap individu itu sendiri. Setiap individu hendaklah cuba mempertingkatkan diri mereka dengan kemahiran-kemahiran terkini. Malah membudayakan masyarakat dengan literasi komputer akan menjadi lebih mudah sekiranya semua pihak memainkan peranan masing-masing dan kerjasama yang serius.

5.0 Kesimpulan

Tidak dinafikan perkembangan pesat teknologi maklumat khususnya komputer telah menimbulkan pelbagai masalah kepada masyarakat. Namun begitu perkara ini masih boleh dibendung jika setiap individu mengambil tindakan yang serius untuk mengatasinya. Sekiranya langkah yang sesuai dan betul dilaksanakan oleh pihak yang bertanggungjawab, perkembangan pesat ini boleh memajukan sesebuah negara dan dunia amnya. Setiap masalah ada jalan penyelesaiannya. Bergantung kepada usaha dan inisiatif kita untuk membendung masalah ini dan menggunakan teknologi komputer sebaik mungkin.

Bibliografi :

V.Pang, Y.K Yap dan Y.M Tan, (1992). Buku Sumber Komputer Dalam Pendidikan. Kuala Lumpur : Siri Pendidikan Longman

Dewan Budaya, Ruang Siber dan Cabarannya , Edisi Julai, 1996